Friday, October 2, 2009

Sudahkah kita kenal Baginda s.a.w? Benarkah kita cintakan Baginda s.a.w.?

Assalamulaikum,

Saudaraku dan sahabatku yang dikasihi,

Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa. Antara tanda seorang itu bertaqwa kepada Allah s.w.t adalah cinta dia terhadap Rasulullah s.a.w. Cintailah Baginda dengan banyak membaca AlQuran. Kerana melalui AlQuran sahaja dapat kita benar-benar mengenal Baginda Rasulullah s.a.w.

Cuba kita tanya diri kita hari ini, sudahkah kita kenal Baginda? Benarkah kita cintakan Baginda? Apakah tandanya kita benar-benar cinta pada Baginda?

Rasululullah s.a.w. amat cinta pada umatnya. Ini tergambar dalam setiap pengorbanan yang telah Baginda buat semasa hidupnya. Hari ini saya ingin mengajak anda mengimbas kembali pengorbanan Baginda s.a.w sebagai tanda cintanya pada umat. Semoga kita juga dapat membuat satu pengorbanan dalam hidup sebagai tanda cinta kita pada Baginda s.a.w.

Saudaraku,

Marilah kita lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. berkorban untuk memastikan Risalah tauhid sampai pada seluruh umat manusia. Marilah kita lihat bagaimana Baginda amat bersabar dan cekal dalam mengamalkan Islam dan menjalankan dakwah.

Baginda s.a.w telah menghadapi berbagai tentangan. Bermula dengan tentangan dari pakciknya sendiri Abu Lahab hingga penentangan orang-orang Musyrik terhadap semua orang Islam di Mekkah dan Madinah.

Abu Lahab lah antara orang pertama yang memberitahu setiap pelawat kota Mekkah agar tidak mendengar seruan baginda s.a.w, walaupun baginda s.a.w adalah anak saudaranya. Abu Lahab lah antara orang yang paling banyak mencerca dan memaki-hamun Rasulullah s.a.w dimana sahaja Rasulullah s.a.w berjalan. Isteri Abu Lahab pula bersungguh-sungguh menaburkan duri dan kotoran di mana sahaja Rasulullah s.a.w berjalan. Perbuatan buruk ini dicerca dan diancam oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Lahab, ertinya: Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. Di lehernya sejenis tali, dari tali-tali yang dipintal.

Saudaraku,

Apabila semakin ramai orang memeluk agama Islam, dan mereka tidak meninggalkan Islam mereka walaupun diseksa oleh orang-orang musyrik, maka orang-orang Quraisy Mekkah mula mengambil tindakan drastik.

Mereka membuat satu perjanjian di antara semua kabilah Quraish ketika tersebut, untuk memulaukan semua Bani Hashim kecuali Abu Lahab, sehinggalah Bani Hashim memulaukan sendiri baginda Rasulullah s.a.w. Pemulauan ini berjalan lebih dari dua tahun. Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman merasakan kesusahan dan kepayahan yang amat sangat sehinggakan beberapa kali mereka kebuluran kerana orang-orang Quraisy tidak mahu berjual beli dengan mereka. Pemulauan ini hanya berakhir apabila Allah s.w.t menghancurkan dokumen pemulauan yang mereka letakkan dalam Kaabah.

Apakah reaksi Rasulullah s.a.w terhadap segala tentangan ini? Adakah Rasulullah s.a.w bertindak ganas? Adakah Rasulullah s.a.w memerintahkan umat Islam agar menentang kembali dengan kekerasan dan pembunuhan?

Tidak!

Sebaliknya, Rasulullah s.a.w memerintahkan agar umat Islam bersabar menghadapi segala dugaan ini. Ini lah sifat yang sangat-sangat dituntut dalam Islam. Banyak kali dalam Al-Quran Allah s.w.t memerintahkan NabiNya agar bersabar, seperti ayat berikut yang bermaksud: Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredaan Tuhannya, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan; orang-orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik).

Saudaraku,

Cuba kita fikir sejenak, Baginda dan sahabat telah diseksa, dianiaya dalam mengamalkan Islam dalam kehidupan. Tetapi sekarang adakah kita merasai sepertimana Baginda rasai?

Apakah sukar untuk kita mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian kita? Adakah kita dicerca, dihina diseksa seperti Baginda Nabi?

Lihatlah, bagaimana Baginda menghadapi cabaran. Baginda tidak kenal kesal, Baginda tidak kenal rungutan, Baginda tidak kenal dendam dan Baginda tidak kenal keganasan.Tetapi Baginda mengajar umatnya menempuh cabaran dengan kesabaran serta menadah tangan meminta pertolongan dari Allah s.w.t. Bukan itu sahaja bahkan Baginda terus membuat sumbangan dengan menabur bakti serta menolak segala kejahatan dengan kebaikan.

Inilah yang perlu disemai dalam diri dan keluarga kita. Didik keluarga kita untuk mencontohi Baginda Nabi. Ingatkan mereka bahawa Baginda Nabi s.a.w. telah banyak berkorban untuk kita. Ingatkan mereka bahawa ajaran Baginda Nabi kesemuanya membawa kesejahteraan. Cara kehidupan Baginda Nabi adalah manfaat untuk semua. Rahmat Baginda Nabi adalah untuk seluruh Alam ini.

Inilah salah satu pengorbanan yang perlu kita lakukan untuk Rasulullah s.a.w. Pengorbanan dalam mendidik keluarga kita cinta pada Rasulullah s.a.w. Mendidik keluarga kita bahawa Baginda Rasulullah adalah pembawa rahmat dan kesejahteraan pada semua.

Semoga dengan pengorbanan ini, anak dan isteri kita akan cinta pada Rasulullah s.a.w. Dan dengan cinta ini, keluarga kita, terutama sekali anak remaja kita, akan berusaha mengambil Rasulullah s.a.w. sebagai contoh dalam kehidupan dan akhirnya mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi segala macam cabaran kehidupan masakini.

Allah s.w.t berfirman dalam akhir surah At-Taubah, ertinya: Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Wassalam

No comments: